Nota Penting: buku ini ditulis untuk pesakit dialisis, yang mana keperluan protein harian mereka ialah sekali ganda lebih dari pesakit CKD Tahap 3/4/5. Oleh itu pesakit CKD perlu sesuaikan, yakni mengambil hanya separuh dari protein haiwan dalam resipi-resepi yang terbabit ~ terima kasih.
Pautan untuk muat-turun e-buku ada di penghujung artikel ini
Buah pinggang adalah organ yang penting untuk menyingkirkan produk buangan dan cecair berlebihan daripada badan. Sekiranyabuah pinggang gagal berfungsi dan anda perlu menjalani dialisis, sama ada dialisis peritoneum(PD) mahupun hemodialisis (HD), penjagaan pemakanan adalah aspek yang perlu dititikberatkan dalam rawatan supaya anda dapat meneruskan aktiviti harian dengan sebaik mungkin. Setiap individu mempunyai keperluan nutrien yang berbeza, oleh itu anda perlu mendapatkan nasihat dan bimbingan daripada pakar diet bagi membantu anda mengatur pelan pemakanan yang khusus untuk diri anda. Di sini, kami menyediakan beberapa fakta asas tentang pemakanan yang sesuai ketika menjalani dialisis.
1. Kalori
Tenaga diukur dalam unit kalori. Kalori yang secukupnya diperlukan supaya badan anda dapat berfungsi dengan baik di samping mencegah masalah kekurangan nutrisi. Badan memperoleh tenaga daripada protein, karbohidrat dan lemak dalam makanan. Jumlah kalori yang anda perlukan bergantung pada umur, jantina, saiz badan dan tahap aktiviti seseorang. Anda juga mungkin perlu melaraskan jumlah kalori berdasarkan sasaran berat badan anda. Sesetengah individu perlu mengurangkan jumlah kalori yang mereka ambil manakala individu yang lain pula mungkin perlu mengambil lebih banyak kalori. Anda dinasihatkan supaya berunding dengan pakar diet atau profesional penjagaan kesihatan untuk membantu anda menetapkan jumlah kalori yang anda perlukan. Bagi pesakit yang menjalani PD, kalori juga diperoleh daripada larutan dialisis yang mengandungi dekstrosa (sejenis gula). Oleh itu, pesakit perlu melaraskan kalori yang mereka peroleh daripada makanan supaya jumlah kalori harian tidak melebihi syor yang telah ditetapkan.
2. Protein
Kebanyakan pesakit dialisis memerlukan lebih banyak protein. Protein berperanan untuk mengekalkan tekanan osmotik dalam darah, menghentikan pendarahan, melawan jangkitan, mempercepatkan pemulihan akibat kecederaan dan mengekalkan fungsi tisu badan. Semasa dialisis, sejumlah protein akan hilang dan ia perlu digantikan dengan pengambilan makanan tinggi protein yang secukupnya seperti ikan, ayam, daging tanpa lemak, kacang soya dan telur.
3. Natrium/ Sodium (garam)
Pesakit dialisis dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan natrium, iaitu tidak lebih daripada 2,000 mg sehari (lebih kurang 1 sudu kecil garam). Natrium boleh menyebabkan dahaga, bengkak, sesak nafas, tekanan darah tinggi dan kegagalan jantung. Natrium wujud secara semula jadi dalam makanan, namun ia sering ditambah dalam masakan atau digunakan sebagai bahan pengawet dalam makanan berproses atau makanan dalam tin.
Tip:
• Gunakan herba segar, jus lemon atau rempah- ratus untuk menambah rasa makanan bagi menggantikan penggunaan garam atau sos;
• Kurangkan pengambilan makanan diasinkan atau dijeruk, daging terproses, makanan dalam tin dan makanan dalam paket yang siap dimakan.
• Gunakan lebih banyak bahan-bahan segar dalam penyediaan makanan dan kurangkan makan di luar.
4. Fosforus
Fosforus adalah mineral yang terdapat dalam kebanyakan jenis makanan. Ia bertindak bersama-sama dengan kalsium dan vitamin D untuk menyihatkan tulang. Sekiranya buah pinggang anda tidak berfungsi dengan baik, tahap fosforus akan meningkat dalam darah dan ini berpotensi mengakibatkan masalah tulang dan jantung yang serius, pengerasan tisu dan kegatalan kulit. Dialisis hanya berkesan untuk menyingkirkan fosforus dalam kuantiti yang terhad daripada badan. Kandungan fosforus adalah lebih tinggi dalam daging terproses, coklat, makanan berasaskan koko, bijirin penuh, kacang dan minuman ringan berwarna gelap. Pesakit dialisis perlu mengambil ubat pengikat fosfat bersama makanan untuk mengurangkan penyerapan fosforus oleh badan. Anda juga dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan makanan berproses yang mengandungi fosforus sebagai pengawet kerana ia boleh diserap dengan mudah ke dalam badan, seterusnya meningkatkan tahap fosforus dalam darah.
5. Potassium / Kalium
Kalium diperlukan untuk mengekalkan fungsi otot, saraf dan jantung anda. Sekiranya buah pinggang tidak berfungsi dengan sempurna, kalium tidak dapat disingkirkan melalui air kencing hingga menyebabkan tahap kalium meningkat dalam darah. Keadaan ini berbahaya kerana ia boleh mengakibatkan degupan jantung yang tidak tetap atau jantung berhenti berdegup. Kebanyakan makanan biasanya mengandungi kalium dalam jumlah yang sedikit, namun sesetengah makanan tertentu mengandungi tahap kalium yang lebih tinggi. Bagi pesakit dialisis peritoneum, anda biasanya tidak perlu membataskan pengambilan kalium. Walau bagaimanapun, ia penting bagi pesakit hemodialisis untuk memantau tahap kalium dalam darah mereka. Sekiranya tahap kalium dalam darah sering mencatatkan bacaan yang tinggi, anda dinasihatkan supaya membataskan pengambilan makanan yang kaya dengan kalium.
6. Cecair
Pesakit dialisis biasanya kurang membuang kencing. Keadaan ini akan meningkatkan tahap cecair dalam badan, seterusnya memberi tekanan yang berlebihan pada jantung dan paru-paru pesakit. Pesakit dialisis juga sering mengalami masalah mulut kering dan dahaga. Namun, terlalu banyak cecair dalam badan boleh mengakibatkan tekanan darah tinggi, bengkak dan kegagalan jantung. Cecair berlebihan juga mungkin terkumpul di sekeliling paru-paru dan menyukarkan pernafasan. Pesakit dialisis hendaklah mengawal keinginan untuk mengambil cecair yang banyak, malah mereka perlu memantau jumlah cecair yang dibenarkan daripada pelbagai sumber seperti air minuman, air untuk pengambilan ubat, sup, ais krim, kiub ais dan sebagainya.
SEKIAN
Muat-turun buku tersedia di pautan berikut ... (sila log masuk)
... isi kandungan yang lengkap dan seterusnya adalah untuk Ahli sahaja, sila log masuk atau daftar terlebih dahulu :
Sertai program kami: